FOKUS MITOS: SUMPAHAN SANG KELEMBAI

Gua Kota Tongkat merupakan pintu masuk utama Gua Kota Gelanggi yang penuh dengan misteri dan sejarah.
Sang Kelembai merupakan makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu di beberapa tempat di negara ini. Sesetengah tempat dipanggil Sang Gedembai.

Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu.

Ada yang mengatakan sang kelembai ini memiliki badan yang besar dan tinggi sehingga dipercayai mampu sampai ke Terengganu dari Kuala Tahan dengan hanya beberapa langkah. Tidak kurang juga yang mengatakan Sang Kelembai ini mampu terbang dan hanya memakan pucuk-pucuk buluh sahaja.

Di Jerantut misalnya, terdapat pelbagai cerita dari daerah yang berkaitan dengan Sang kelembai ini seperti kawasan tempat persinggahannya dan juga kesan-kesan sumpahannya yang dianggap sekadar mitos untuk mengaitkannya dengan sejarah sesuatu setempat.

Batu yang berbentuk gajah dikatakan salah satu daripada sumpahan Sang Kelembai.
Menurut seorang penduduk dan peminat sejarah lama Azmi Baharuddin, Sang Kelembai ini dikatakan berasal dari sebuah gunung dan tinggal dalam hutan yang terletak di Kuala Tahan serta turut mempunyai keluarga di sana,

“Namun tidak pernah diketahui siapa isterinya dan berasal dari mana kerana hanya kisah Sang Kelembai dan anaknya sahaja yang sering diceritakan," katanya.

Ceritanya, Sang Kelembai mempunyai seorang anak lelaki, namun anaknya telah meninggal dunia akibat mabuk selepas memakan buah perah.

“Kerana terlalu sedih dan marah dengan kematian anak lelaki kesayangannya, maka Sang Kelembai dikatakan mengamuk sebelum mencabut semua pokok buah perah di hutan Tembeling dan  kononnya sebab itulah pokok perah tidak banyak terdapat di hutan berkenaan," ujarnya.

Azmi berkata, Kota Gelanggi merupakan salah satu tempat yang banyak mengisahkan tentang Sang Kelembai ini suatu ketika dulu dan turut berkait serta menjadi pengukuh cerita sejarah gua tersebut.

“Kota Gelanggi ini dahulunya merupakan sebuah istana milik seorang raja yang bernama Raja Gelanggi dan baginda dikatakan mempunyai seorang anak perempuan yang cantik serta baik dan telah ditunangkan dengan seorang raja di Rembau yang bernama Raja Usul.

“Kecantikan Puteri Raja Gelanggi telah diketahui oleh seorang raja dari kayangan yang bernama Raja Mambang dan ingin memperisterikan puteri raja tersebut. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu dan mengahwinkan puterinya dengan Raja Mambang.

“Tiba hari perkahwinan, Raja Usul telah sampai di Kota Gelanggi dengan tujuannya untuk menghantar hadiah kepada tunangnya namun alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan dan peperangan telah berlaku antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang," ceritanya penuh bersemangat.

Menurutnya lagi, oleh kerana sama gagah dan sama sakti, tiada yang kalah atau menang maka pada ketika inilah Sang Kelembai muncul serta menegur tentang perangai dua jenis makhluk ini berperang kerana seorang perempuan.

"Akibat sumpahan itu semua yang ada di situ menjadi batu, lancangnya menjadi tanah, laut menjadi padang, sungai menjadi lembah dan segalanya musnah begitu sahaja”.

“Maka dengan ini, ujudnya Gua Kota gelanggi yang mempunyai batu-batu yang mempunyai bentuk manusia, binatang dan berbagai-bagai akibat dari teguran Sang Kelembai," cerita Azmi kepada Sinar Harian.

Sumber Artikel Ini Diambil dari Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang Bertarikh 14 Oktober 2012
FOKUS MITOS: SUMPAHAN SANG KELEMBAI FOKUS MITOS: SUMPAHAN SANG KELEMBAI Reviewed by ILOVEPAHANG on October 15, 2012 Rating: 5
Powered by Blogger.